SELANGOR

Calon PAKATAN Balakong tekad naik taraf infrastruktur pasar

OLEH SHEEDA FATHIL

CHERAS, 20 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki tekad mahu menaik taraf infrastruktur Pasar Pagi Chua di daerah itu, sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi DUN Balakong.

Siew Ki berkata, beliau sudah melawat sekitar pasar berkenaan dan berhasrat akan menaik taraf kawasan itu supaya pengunjung serta penjual berasa lebih selesa.

“Saya sudah melihat sendiri kawasan pasar ini dan banyak infrastruktur mengalami kerosakan. Jadi saya berjanji ia akan dinaik taraf sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pengedaran Bendera Malaysia di Pekan Batu 11, di sini, semalam.

Turut hadir memeriahkan program Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Pada masa sama, Siew Ki berkata, beliau amat gembira selama dua hari berkempen rakyat sudah menunjukan reaksi positif terhadapnya.

Mengulas mengenai reaksi rakyat terhadap logo PAKATAN untuk PRK itu, Siew Ki berkata, beliau menerima pelbagai reaksi positif.

“Rakyat amat gembira dan masing-masing memberitahu saya bahawa mereka sudah mengetahui logo itu dan tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Namun, itu tidak bermakna saya boleh selesa dan usaha tetap perlu dipertingkatkan lagi untuk terus mendengar permasalahan rakyat,” katanya.

Siew Ki bakal bertemu dua penjuru dengan pencabarnya daripada calon MCA, Tan Chee Teong pada PRK yang bakal berlangsung 8 September ini.

Terdahulu, kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.


Pengarang :