SELANGOR

Jangan takut jika anak perempuan minat politik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Jangan takut dan gentar merestui anak gadis terbabit dengan politik, nasihat Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

“Mungkin ada antara kita yang khuatir apabila anak gadis ini didedahkan pada dunia politik ekoran mereka akan terbabit dengan politik kepartian yang sering terpalit dengan persepsi negatif.

“Namun saya ingin nyatakan di sini, politik adalah penggerak kepada dasar dan polisi yang menentukan hala tuju Malaysia sebagai negara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Pelancaran Inisiatif Girl2Leader di Hotel Corus, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Presiden Girl2Leader, Nurainie Haziqah.

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau berharap program Girl2Leader dapat mendidik ibu bapa memahami bahawa anak gadis mereka adalah permata yang perlu digilap.

Katanya, anak gadis adalah pemimpin masa depan yang memerlukan dorongan dan panduan supaya dapat menjadikan Malaysia negara maju, berdaya saing dan cemerlang untuk semua.

“Tugas kita adalah memberi pendedahan secukupnya supaya mereka faham bahawa masa depan negara terletak di tangan mereka.

“Kita menaruh harapan amat besar kepada program Girl2Leader ini supaya wanita Malaysia tidak lagi ketinggalan, terutama dari posisi pembuat keputusan, kepimpinan politik, industri dan masyarakat,” katanya.


Pengarang :