SELANGOR

DARUL LGBT : Lidah rasmi PAS tebar fitnah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS : Tuduhan kolumnis akhbar rasmi PAS, Harakah melabel Selangor sebagai Darul LGBT adalah keterlaluan, tegas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, PAS seolah-olah melemparkan tuduhan terbabit kepada pentadbir utama negeri ini termasuk Sultan dan juga mufti.

“Kita masih punyai Sultan dan mufti, dan adakah PAS lupa diri apabila Selangor Darul Ehsan adalah negeri yang pernah dibangunkan bersama satu ketika dahulu.

“Bagaimana mereka boleh mencerminkan negeri yang pernah dibangunkan bersama seburuk itu, tidak pernah sesekali kita (Selangor) melabelkan negeri yang ditadbir oleh mereka dengan perkataan buruk.

“Ini adalah sikap tidak bertanggungjawab, jika hendak katakan sedemikian rupa sekalipun, kemukakan bukti, jangan main tuduh tidak tentu hala, ini boleh jatuh kepada fitnah.

“Mengikut al-Quran, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh, adakah PAS tidak sedar akan hal terbabit,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, Kerajaan Selangor tidak pernah ‘menghalalkan’ LGBT kerana ia adalah bertentangan dengan al-Quran.

“Janganlah terlalu beremosi ketika berkempen sehingga cuba meraih sokongan murahan, ini adalah fitnah yang hanya membawa kepada kehancuran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu artikel yang dikeluarkan Harakah bertajuk ‘PRK Seri Setia : PAS lawan Darul LGBT’.

Artikel yang dipaparkan melalui ‘lidah rasmi’ PAS bagi siaran 27 hingga 30 Ogos itu turut mengundang kemarahan rakyat Selangor.

Salah satu kenyataan yang dipaparkan dalam akhbar itu termasuk, ”Jangan tidak sedar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia pada 8 September nanti, bukan sekadar pertandingan antara PAS dan Pakatan Harapan, atau pembangkang dan kerajaan, tetapi boleh dilihat sebagai PAS lawan kerajaan lembut yang selembut kaum LGBT.LGBT adalah gejala yang menonjol galak dalam tempoh 100 kerajaan baharu, Harapan”.


Pengarang :