SELANGOR

Halimey mahu tingkat kemudahan sukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 OGOS: Kemudahan sukan dan rekreasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia perlu ditambah ekoran kepadatan penduduk kawasan terbabit.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, perkara itu akan diatasi dengan mengadakan perbincangan bersama agensi Kerajaan Negeri.

Katanya, ia termasuk Pejabat Dato’ Menteri Besar, Exco berkaitan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah dan rumah ibadat.

“Anak muda jangan bimbang, saya akan sampaikan dan berbincang dengan lebih lanjut berkenaan tuntutan ini bersama semua agensi terbabit.

“Bagi merealisasikan tuntutan dan cadangan mengangkat martabat generasi muda tercapai, saya memohon pengundi DUN N32 Seri Setia keluarlah mengundi beramai-ramai dan pilihlah saya sebagai calon PAKATAN pada 8 September 2018 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Harian PAKATAN di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia, di sini, hari ini.

Halimey berkata, beliau akan mencadangkan supaya masjid membangunkan Pusat Pembangunan Komuniti Setempat seperti gelanggang futsal, takraw dan permainan dalaman.

Beliau juga menyarankan supaya Kementerian Pendidikan memberi kebenaran aset kemudahan sukan sekolah dikongsi guna dengan komuniti setempat.

“Saya juga ingin mencadangkan merangka program sukan lasak untuk anak muda DUN Seri Setia seperti kembara, pendakian dan program jalan kaki,” katanya.


Pengarang :