SASTERA

IBDE terjemah karya agung: Pencerahan dan Reformasi

Oleh Amirudin Shari

Foto ihsan Saudagar Buku Pencerahan

PENCERAHAN adalah jiwa saya. Tanpa terjun ke dunia politik sekalipun, ia salah satu perjuangan dan kepercayaan saya. Dari mana datang minat dan keinginan ini? Tentunya lahir dari kemelut bangsa, dari keresahan negara, dari zaman Reformasi 1998.

Ramai juga menanggapi Reformasi sempurna apabila berlaku perubahan pimpinan kerajaan. Ada menyebut, kalau tukar kerajaan akan selesai segala masalah — dari masalah susu anak hingga kadar pertumbuhan ekonomi dan tahap kepintaran rakyat.

Malaysia agak beruntung kerana Reformasi berjalan dalam jeda waktu yang agak panjang. Ini tahun ke-20. Sebenarnya, kita belum ada jawapan yang konklusif atau secara tepat, apakah itu Reformasi? Ada yang menebak, meneka-neka atau bertanya-tanya; ada menjawab hanya dari sudut pandangnya sahaja. Bagi politisi, mereka menganggap hanya tukar orang politik; bagi golongan aktivis, Reformasi hanya kalau ikut kata mereka, itulah Reformasi menurut mereka. Sampai ke hari ini, ungkapan Reformasi masih lagi dilaung-laungkan tetapi saya percaya maknanya jauh tersimpang daripada erti dan harapan Reformasi atau islah yang kita anjurkan.

Di Indonesia, negara itu mengalami proses perubahan yang begitu pantas. Mereka memahami Reformasi selepas berlaku perubahan besar tetapi kita pula mencari-cari makna Reformasi yang sampai sekarang tidak konklusif dan akhirnya selepas 20 tahun, kita temui pula makna Malaysia Baharu apabila berlaku perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu. Tidak mengapa. Proses pencarian dan penggalian adalah proses panjang yang harus dibuat dengan jujur dan bersungguh-sungguh supaya kita dapat mencari makna diri dan erti sebenar Reformasi atau seumpamanya.

Sewaktu bertemu rakan dan sahabat di Bangsar menjelang tahun 2000, kita mula mengenal pasti rupa-rupanya masalah besar bangsa dan negara kita bukan disebabkan faktor pimpinan sahaja. Bukan semata-mata disebabkan polisi yang mengekang dan mengongkong, bukan hanya akibat keputusan kerajaan yang zalim dan kedikatatoran dalam kerajaan tetapi masalah besar di negara ini adalah apabila penduduk termasuk anak muda mula berhenti berfikir dengan bijak, meninggalkan diri mereka daripada membuat keputusan wajar untuk diri sendiri, sebaliknya menyerahkan semua keputusan penting kepada pihak tidak sewajarnya.

Justeru, Reformasi berlaku kerana rakyat sudah hilang tanggungjawab hingga malas berfikir dan meletak tanggungjawab pemikiran dan hak mereka kepada institusi, organisasi, parti politik atau orang tertentu untuk mengharapkan jawapan. Sampai satu tahap, kuasa yang bergunung akhirnya tidak terkawal hingga timbulnya rasuah dan penyelewengan yang membawa kepada ketidakadilan, lantas kita berdepan masalah ekonomi hampir 10 tahun. Bila datang waktu itu, masing-masing gagal menanggapi apakah sebenarnya yang berlaku sehingga kita membuat keputusan hanya berdasarkan pemahaman kita sahaja, yang tidak merungkai masalah rakyat secara menyeluruh.

Pencerahan bagi saya adalah pintu keluar bagi persoalan dan pergolakan. Reformasi bukan isu siapa zalim, siapa tidak tetapi ia menuntut masyarakat faham, mengerti dan bersedia mendepani persoalan kehidupan yang mendalam, sama ada menjurus soal iman hingga kepada isu pengurusan teknologi dan alam sekitar.

Bertahun-tahun sebelum 1998, kita tidak pernah digugah dengan pandangan mencabar. Kita selalu berserah, menyerahkan diri dan kepercayaan kepada autoriti tanpa kita mula mencambah atau memikirkan sesuatu yang baik buat negara.

Apabila Institut Kajian Dasar (IKD) menterjemah Beantwortung der Frage: Was ist Aufklarung? atau Apa Itu Pencerahan, itulah yang terkandung dalam ungkapan Immanuel Kant: “Manusia yang tidak memaksakan kebodohan dan ketidakmatangan dirinya sendiri”. Maknanya orang yang boleh berfikir dan membuat keputusan berdasarkan akal yang sihat.

Sejarah dunia menunjukkan perubahan, dari zaman pencerahan hingga era revolusi industri 4.0, bermula dengan mencabar autoriti — bukan dimaknai kuasa dan daulah sahaja, tetapi autoriti adalah perkara yang konvensional atau perkara lazim, hal yang kita yang selesa. Mencabar autoriti tidak ada salahnya selagi dalam kerangka pemikiran dan dibincangkan secara logik, matang dan berdaya saing.

Justeru, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) memperbanyak naskhah dalam bahasa Melayu, selain membuat perbincangan yang mungkin tidak lazim dibincangkan, tidak biasa didiskusikan; dianggap terlalu ‘berat’ untuk orang Melayu Bumiputera. Ini semangat yang lahir dalam diri dalam melihat arus perubahan, apatah lagi dalam era baru kerana kerajaan suatu ketika dulu begitu curiga dengan kebebasan — dianggap jenayah besar, mudarat dan dosa, malah najis. Sehingga ada menganggapnya sebagai kebebasan mutlak sedangkan kebebasan mutlak tidak boleh dicapai di mana-mana. Justeru, dalam ruang kebebasan yang mula terbuka, semua — yang mahu berfikir, yang mahu mengangkat pemikiran harus bergerak mencambahnya.

Jadi, kerajaan Selangor sejak diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkenal naskhah-naskhah penting kepada masyarakat supaya mereka tidak lagi terkongkong kepada pandangan dan ketertutupan serta kebergantungan kepada sumber ‘autoriti’ untuk perjalanan kehidupan sehari-hari.

Justeru, karya-karya yang diterjemah melebar dari Eropah hingga dunia Arab, dari tempatan hingga antarabangsa kerana kita percaya melalui penterjemahan, akan berlaku perubahan besar. Kalau kita lihat sejarah pencerahan dunia, ia bermula dari terjemahan karya agung seperti di Eropah dan dunia masa kini.

IBDE melalui Siri Pencerahan Selangor menerbitkan 22 buku terjemahan dan 17 buku dalam format audio yang dihasilkan Nusantara Audiobook. Antaranya adalah karya agung pengarang dari Timur dan Barat termasuk karya Imam al-Ghazali, Rene Descartes dan Voltaire manakala karya Hamka, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan beberapa buku lain dalam bentuk audio. Ia menampilkan narator yang bukan calang-calang antaranya Allahyarham Mahadzir Lokman dan pelakon terkenal Wan Hanafi Su.

Selain itu, ramai menganggap dunia pemikiran Islam terhalang dengan peran dan pengaruh Imam al-Ghazali. Ramai menyifatkan bukunya Tahafut Al-Falasifah (Kerancuan Para Ahli Falsafah) menutup pintu ijtihad dalam dunia pemikiran Islam. Secara peribadi saya tidak setuju kerana Imam al-Ghazali bukan menutup pintu itu, setutup-tutupnya. Ia hanya ditafsir pengikut dan mungkin orang-orang yang tersilap atau ‘tersesat’ dalam pemahaman mereka.

Dalam perenggan awal dan pendahuluan buku itu, beliau jelas mengkritik kelompok yang dianggap mengikut tanpa usul periksa atau taklid buta, mengikut tanpa ada tujuan. Maknanya, Imam al-Ghazali sendiri mengajak kita berfikir dan melihat persoalan demi persoalan. Hanya kemalasan mungkin atau mencari alasan, dosa itu kita serahkan kepada Imam al-Ghazali untuk mengatakan ketertutupan umat Islam disebabkan olehnya.

Malah, selepas itu ada Fasl al-Maqal karya Ibnu Rusyd yang membuka pemikiran umat Islam. Mengapa ketika pemikiran itu berlangsung, adanya keterbukaan, kita tak ambil, malah ada pula menganggap Ibnu Rusyd lebih Eropah berbanding Arab atau dunia Islam?

Sebab itu, asas penting pemikiran atau pengalaman saya sepanjang 20 tahun, bermula 1998, melihat apakah itu reformasi; sampailah jadi aktivis parti dan mendapat jawatan politik tetapi akhirnya bukan semua jawapan boleh diselesaikan dengan politik tetapi dengan keberanian dan pencerahan.

* Disunting daripada ucapan menteri besar Selangor pada pelancaran buku Siri Pencerahan Selangor di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia pada 20 Ogos lalu.


Pengarang :