SELANGOR

Isteri Allahyarham Abang Din terharu terima bantuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 10 OGOS: Keprihatinan ditunjukkan ramai pihak memberi kekuatan kepada Suraya Musa dan keluarga mengharungi kehidupan saban hari selepas suaminya yang juga jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, meninggal dunia, pada Jun lalu.

Terbaru, beliau menerima insurans takaful berjumlah RM75,000, pencen penakat kematian RM1,510 sebulan sepanjang hayat dan faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000.

Bantuan itu diberikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dato’ Menteri Besar, Faedah PERKESO dan Takaful Malaysia Berhad, di kediamannya, di sini, semalam.

“Alhamdullilah, lega dan terharu dengan bantuan diberikan semua pihak terbabit kerana ia sangat membantu saya menyara keluarga dan membesarkan anak,” kata Suraya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah, turut memberi jaminan untuk membantu keluarganya dalam pelbagai aspek.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shahreen Raja Othman dan CEO Communication Corporation Sdn Bhd, Eddie Ahmad Khodzali.

Khairuddin atau lebih lebih mesra dipanggil Abang Din meninggal dunia, pada 25 Jun lalu ekoran pendarahan dalam perut, di Hospital Serdang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.


Pengarang :