dav
NASIONAL

MACVA galak lebih ramai kaum Cina sertai tentera

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) menggalakkan lebih ramai belia berbangsa Cina membabitkan diri dalam pengambilan perajurit muda.

Presiden MACVA, Tan Pau Son berkata, MACVA kini bekerjasama dengan Cawangan Sumber Manusia (CSM) Tentera bagi mempromosikan menarik lebih ramai belia Cina menyertai tentera, sekali gus menyumbang kepada keselamatan serta pembangunan negara.

“Sehingga kini, ahli veteran MACVA berjumlah lebih kurang 1,000 orang yang sudah memerah keringat muda mereka berkhidmat kepada raja dan negara dengan penuh kesungguhan serta kebanggaan.

“Bagaimanapun, kita sedih dengan penurunan besar dalam kalangan orang Cina yang membabitkan diri dengan kerjaya tentera, malahan jika dibandingkan penyertaan sukarela pada era 50an hingga 80an lalu amat berbeza,” katanya pada sidang media, di Pejabat MACVA, Mid Valley, di sini.

Sementara itu, Pau Son berkata, beliau percaya penurunan drastik itu mungkin disebabkan pelbagai faktor antaranya persekitaran damai yang dilakukan oleh pengisytiharan akhir pemberontakan, pada tahun 1989.

Selain itu, katanya, faktor lain pula adalah perindustrian pesat di negara ini mewujudkan peluang pekerjaan yang besar, sekali gus kurangnya minat belia Cina untuk menyertai tentera.

“Pembangunan baru ini menarik ramai belia Cina untuk meneroka industri berasaskan teknologi, malahan pendidikan menjadi satu aspek penting untuk masa depan yang lebih baik kepada kebanyakan keluarga.

“Namun, kita sangat gembira kerana pihak tentera sedang mengambil langkah yang sesuai untuk meningkatkan penyertaan belia Cina melalui program promosi dan pengambilan, di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pertahanan dan keselamataan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia yang berwibawa dan setia tanpa mengira agama atau budaya.

Beliau berharap, meritokrasi dipromosi secara agresif di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya yakin bahawa meritokrasi akan diamalkan di angkatan tentera dan ini akan membantu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap angkatan itu.

“Saya amat gembira untuk memaklumkan bahawa ahli kami sangat optimis dengan inisiatif CSM ini. Ramai anggota termasuk jeneral veteran menjadi sukarelawan untuk pengambilan.

Terdahulu, MACVA atas inisiatif sendiri memulakan “Tentera Sebagai Kerjaya” pada tahun 2016 membabitkan pelajar Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), di Setapak.

Selain TAR UC, MACVA turut mendekati Lembaga Sekolah Confucius dengan tujuan untuk mempromosikan kerjaya tentera kepada pelajar sekolah berkenaan.


Pengarang :