SELANGOR

Kerajaan Negeri sokong usaha ikon anak muda tawan tiga puncak ekstrim Himalaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 OGOS: Misi Ekspedisi Solo Merdeka Anak Muda Gombak (AMG) ke Himalaya yang dilaksanakan ikon AMG, Khairil Aslan Ab Rasid, 43, mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha yang dijalankan Khairil Aslan akan menjadi kebangaan Selangor dan wajar dicontohi golongan belia, seluruh negara.

“Ini satu galakan generasi muda untuk melakukan perkara yang mungkin sukar tetapi jika ada kesungguhan ia boleh berjaya. Sebab itu, majlis ini diadakan sebagai tanda sokongan kita dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap usaha ini.

“Kita melihat semasa ke semasa apakah keperluan yang diperlukan nanti kerana cabaran dilalui pastinya membabitkan susana dan kos yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera YAB Dato’ Menteri Besar Kepada Ikon AMG, di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, usaha dijalankan Khairil Aslan itu memerlukan semangat dan keazaman yang tinggi ekoran pelbagai cabaran seperti cuaca sejuk melampau, muka bumi serta faktor lain.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri turut memberi sokongan kepada Mohd Alfifshahrin Zakaria dan isterinya, Diana Latief, yang menjelajah dari Malaysia ke kota London dengan menggunakan motosikal.

Khairil Aslan seorang jurutera akan terbang ke India pada 24 Ogos ini untuk memulakan pendakian menawan tiga puncak iaitu Gunung Stok Kangri setinggi 6,153 meter, Gunung CB14 (6,045 meter) dan Gunung CB13 (6,264 meter), pada 27 Ogos.

Beliau dijangka menamatkan ekspedisi ekstrim itu, dalam tempoh 28 hingga 30 hari.


Pengarang :