PBTSELANGOR

Kurang sebulan diperkenalkan, MBSA berjaya kutip RM45,000 melalui ‘SnapNPay’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Walaupun kurang sebulan diperkenalkan namun kaedah bayaran menggunakan aplikasi ‘SnapNPay’ yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengutip sejumlah RM45,000.

Dato’ Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, jumlah itu dikutip menerusi kira-kira lebih 350 transaksi menerusi aplikasi itu.

“Sehingga hari ini sudah lebih 1,500 pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi yang dibangunkan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi SnapNpay di Lobi Mokara, MBSA di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, kaedah bayaran SnapNPay ini menambah satu lagi saluran bayaran yang disediakan MBSA.

Ketika ini MBSA menyediakan saluran bayaran seperti kaunter utama dan pejabat cawangan, perbankan internet, pejabat bergerak ‘Shah Alam On Wheels’ serta kaunter pandu lalu.

Sementara itu, Ketua Deposit & Pengurusan Tunai BIMB, Zury Rahimee Zainal Abiden pula berkata, BIMB tidak menolak kemungkinan menawarkan hadiah wang tunai kepada pengguna bertuah aplikasi terbabit.

“Kami akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak MBSA untuk memberi hadiah wang tunai,” katanya.


Pengarang :