EKONOMI

Perang perdagangan China, AS beri manfaat kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang positif kepada Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, minat syarikat daripada kedua-dua negara terbabit untuk melabur di negara ini semakin meningkat susulan perkembangan terkini itu.

“Saya rasa minat untuk melabur di Malaysia semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekarang akibat perang perdagangan antara China dan AS minat antara syarikat dari kedua-dua negara melabur di Malaysia semakin meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chai Kim Sen berhubung implikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang boleh dimanfaatkan Malaysia bagi menangani kesan negatif perang perdagangan.

Ong berkata kementerian itu pada masa ini sedang membuat penilaian sama ada CPTPP boleh membawa lebih manfaat dari segi menarik pelaburan asing akibat dari perang perdagangan tersebut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :