BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri wujud persekitaran kondusif untuk perikanan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LANGAT, 29 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran kondusif dalam sektor perikanan dan kewujudan pelabuhan tukun tiruan antara usaha dijalankan bagi tujuan berkenaan.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, program pelepasan tukun tiruan juga adalah satu cabang Program Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) iaitu salah satu program antarabangsa di bawah Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) untuk suatu program menjamin kelestarian sumber perikanan.

Sehubungan itu, katanya, Kuala Langat dipilih sebagai daerah perintis bagi menjayakan progran itu di Selangor dengan pendekatan sama dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Kedah.

“Pelabuhan tukun tiruan ini diharap dapat menghalang pencerobohan pukat tunda di kawasan zon perikanan pantai dan tambahan pula dasar sedia ada adalah menggalakkan pukat tunda berhijrah menerokai perikanan laut dalam berdasarkan keupayaan vesel dimiliki.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha Jabatan Perikanan dalam melaksanakan program perikanan bagi membantu nelayan dari segi sosio-ekonomi di samping menjaga kelestarian sumber perikanan dan ia dibuktikan dengan peruntukan, insentif serta bantuan kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda di Jeti Nelayan Sungai Mesok di sini, semalam.

Dalam majlis itu, sebanyak 19 tukun tiruan konkrit untuk dasar lembut dilepaskan di mana pelaksanaan sama telah dilakukan di perairan daerah Kuala Langat pada 2006 hingga 2008 yang memberi impak positif terhadap perolehan tangkapan ikan.

Izham berkata, sektor perikanan di Selangor adalah ketiga tertinggi dalam negara selepas Sabah dan Perak yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu perikanan laut, perikanan darat dan akuakultur.

Katanya, perikanan laut menyumbang sebanyak 125,516 tan metrik pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,613 tan metrik ikan dikeluarkan daerah Kuala Langat.

“Tangkapan perikanan laut disumbangkan nelayan pantai iaitu Zon A sebanyak 2,246 tan metrik dan selebihnya pukat tunda Zon B di mana antara spesis penting di daerah ini adalah tenggiri, bawal, senangin, ketam, udang laut.

“Pelabuhan tukun tiruan amat penting di kawasan ini untuk menambah kepadatan sumber marin terutama untuk nelayan pantai.

“Selain itu ia bertujuan mewujudkan benteng penahanan ombak bagi mengawal hakisan pantai, menghalang dan mengawal aktiviti tangkapan pukat tunda di persisiran pantai serta kawasan agro-tourism untuk aktiviti perikanan rekreasi menjalankan kajian dan penyelidikan saintifik,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap nelayan sentiasa mematuhi prosedur dan peraturan ditetapkan Jabatan Perikanan dalam mencari rezeki supaya keadilan dan keselamatan sentiasa dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.


Pengarang :