EKONOMI

Perodua akan bayar balik pelanggan Myvi terlepas pengecualian cukai

KUALA LUMPUR 29 OGOS: Pengeluar kereta nasional, Perodua, akan membayar balik 3,100 pelanggan Myvi yang terlepas peluang mendaftar kereta mereka sebelum 1 Sept disebabkan penangguhan sementara pengeluaran ekoran gangguan bekalan vendor.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, kakitangan syarikat itu akan menghubungi para pelanggan yang telah menempah kereta Myvi yang sepatutnya didaftarkan sebelum 1 September untuk memanfaatkan harga tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kami ingin menawarkan pelanggan bernilai kami rebat tunai selepas pendaftaran kenderaan mereka, sebagai pampasan terhadap kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahari berkata, syarikat itu juga akan memaklumkan kepada pelanggan perkembangan terkini serahan Myvi kepada mereka.

GST berkadar sifar bermula 1 Jun yang membawa kepada pengecualian cukai selama tiga bulan telah meningkatkan permintaan terhadap kenderaan, dengan pembeli berebut-rebut untuk mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 1 September apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Pada 20 Ogos, Perodua mengumumkan pengeluaran Myvi tertangguh disebabkan gangguan bekalan vendor.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :