SELANGOR

PM dijangka hadir meriahkan SABC 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka hadir buat kali pertama pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, 6 dan 7 September ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang kim berkata, Kerajaan Negeri kini menanti pengesahan daripada pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu.

“SABC 2018 menyaksikan penyertaan ramai tetamu jemputan dan ‘speaker’ dari organisasi tempatan juga antarabangsa, kini kita menanti pengesahan mengenai kehadiran Tun Mahathir sekembalinya dari lawatan ke China.

“Selain itu, persidangan ini juga disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang akan berkongsi pandangan berkaitan perkembangan ekonomi pada masa kini,” katanya.

SABC 2018 adalah salah satu acara dalam Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 anjuran Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) bermula 6 hingga 16 September ini.

Dua lagi acara ialah Ekspo Antarabangsa Selangor pada 6 hingga 9 September dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September) di venue sama.

Chang Kim berkata, persidangan dua hari itu akan menampilkan lebih daripada 60 ‘speaker’ yang pakar dalam bidang masing-masing organisasi tempatan dan antarabangsa.

“Kita sangat teruja melihat kehadiran ramai tetamu jemputan bukan sahaja merentas ASEAN tetapi dari organisasi antarabangsa untuk memberi pandangan mengenai perniagaan,” katanya.

SIBS 2018 buat kali kedua tahun ini akan disertai 60 peratus jenama domestik dan 40 peratus antarabangsa mempamerkan produk keluaran masing-masing di sepanjang berlangsungnya persidangan itu di samping beberapa acara menarik lain.

Chang Kimk berkata, penyertaan pelabur dan usahawan tempatan serta antarabangsa di dalam SIBS 2018 adalah kombinasi terbaik dalam menjadikan Selangor sebagai hab perdagangan antarabangsa.

“Cetusan idea untuk tujuan ini dilaksanakan sejak empat tahun lalu melalui Expo Antarabangsa Selangor dengan Kerajaan Negeri berjaya mencapai kejayaan membanggakan menerusi persidangan ini.

“Kita yakin SIBS akan menjadi antara acara utama di rantau ini pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :