NASIONAL

Saifuddin cadang dua PRK dilaksanakan serentak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OGOS: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan DUN Balakong diadakan serentak.

Katanya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah tenaga semua pihak yang terbabit dengan PRK berkenaan.

“Saya optimis SPR dapat mempertimbangkan cadangan itu sewajarnya.

“Keputusan melaksanakan dua PRK secara serentak bukan sahaja menjimatkan kos, malah tenaga semua pihak terbabit,” katanya lapor Sinar Harian.

Saifuddin berkata, kemenangan di PRK DUN Sungai Kandis memberi beberapa syarat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk lebih bersedia menghadapi dua lagi PRK.

Katanya, PAKATAN harus melipat gandakan usaha menarik sokongan rakyat untuk bukan sekadar menyokong tetapi keluar, pada hari mengundi.

Pada masa sama, katanya, KEADILAN akan mengkaji dan menilai semula isu peratusan keluar mengundi dengan majoriti rendah.

“Saya percaya penilaian semula akan dibuat oleh KEADILAN dan dibentangkan pada Majlis Presiden PAKATAN bagi meneliti puncanya.

“Penambahbaikan semua itu akan diketahui selepas penilaian ini dilakukan dan menjadi asas untuk menyusun strategi kempen bagi dua DUN lagi,” katanya.

Terdahulu, kekosongan dua kerusi DUN itu ekoran kematian wakil rakyatnya, Eddie Ng (Balakong) akibat kemalangan jalan raya, manakala Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (Seri Setia) meninggal dunia akibat kanser.


Pengarang :