BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin bersama 7,000 jemaah solat sunat Aidiladha

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, mencemar duli bersama rakyat menunaikan solat sunat Aidiladha, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhammad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim juga sebahagian Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri beragama Islam.

Turut bersama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Selangor, Dato’ Mazlan Mansor dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Khusrin Munawi.

Solat sunat Aidiladha itu dihadiri kira-kira 7,000 jemaah bersama Sultan Sharafuddin itu diimamkan Pegawai Hal Ehwal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Omar al-Makki.

Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid kemudian membaca khutbah bertajuk ‘Inilah Korbanku, Terimalah Tuhanku’ yang mengisahkan ibadah korban dilaksanakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan umat Islam, sempena sambutan Aidiladha.

Selepas itu, Sultan Sharafuddin mengambil kesempatan bersalaman dan beramah mesra bersama jemaah serta menjamu selera.

Seperti kelaziman saban tahun, ibadah korban dijayakan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan tahun ini ia melaksanakannya dengan 25 lembu termasuk seekor sumbangan Kerajaan Negeri, bermula hari ini.


Pengarang :