SELANGOR

Teruskan legasi pendidikan antara pesanan akhir Shaharuddin

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 3 OGOS: Perjuangan ilmu digagaskan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, diharap dapat diteruskan bagi membudayakan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Anak sulung Allahyarham, Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin, 30, berkata bapanya turut berpesan supaya memastikan legasi pemikirannya diteruskan dalam pendidikan selain menjaga ibu mereka, Adibah Ahmad, 56.

“Kami berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan ayah saya sepanjang beliau berkhidmat selaku EXCO Kerajaan Selangor.

“Kami berharap pemergian beliau menjadi iktibar kepada semua dan usahanya diingati seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Limau Manis.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Penyelidik berkata, Allahyarham sebelum itu berada di Hospital Putrajaya selama tiga hari dan kesihatannya merosot sejak sebulan lalu.

Allahyarham Shaharuddin meninggalkan isteri dan enam orang anak dalam lingkungan usia 30 hingga 18 tahun serta seorang cucu.

Shaharuddin, 55, merupakan Ahli Dewan Negeri Seri Setia dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi disahkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang, di Hospital Putrajaya, semalam.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, beliau menang di kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.


Pengarang :