BERITA UTAMANASIONAL

Tiada kes penguatkuasa Indonesia ceroboh Selat Melaka

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 13 OGOS : Tiada kes pencerobohan dilakukan penguatkuasa Indonesia serta membuat gangguan ke atas nelayan tempatan bagi kawasan Selat Melaka, sejak 2018, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Katanya, Malaysia dan Indonesia juga sudah memutuskan untuk tidak membuat tangkapan bot nelayan kedua-dua belah pihak jika berada di kawasan bertindih dua negara.

“Saya juga percaya pihak berkuasa seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia memainkan peranan dengan baik untuk mengekang masalah ini.

“Sejak tahun 2014, kapal TLDM meningkatkan rondaan dengan memastikan dua kapal akan berada di laut setiap masa iaitu sebuah di Utara dan Selatan untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Program Dialog Menteri Pertahanan bersama Komuniti Nelayan Sekinchan di Pantai Redang, di sini, yang turtu dihadiri Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Mohamad berkata, beliau prihatin terhadap isu keselamatan terutama, di Perairan Selat Melaka.

“Sepanjang hampir tiga bulan dilantik menjadi Menteri Pertahanan, pihak TLDM sudah membawa saya belayar dan melawat beberapa tempat serta memberi pelbagai taklimat.

“Is keselamatan bukan asing lagi. Saya akan pastikan keselamatan nelayan di kawasan Sekinchan khususnya diberikan perhatian serius dan segala luahan serta pemasalahan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya.


Pengarang :