NASIONAL

TNB tawar insentif khas sempena sambutan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan.

TNB dalam satu kenyataan hari ini, berkata insentif yang diberikan sejak tahun 2000 itu diberikan kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2018.

“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2018.

“Ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak,” kata syarikat utiliti nasional itu.

Para pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 Sept 2018.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :