BERITA UTAMANASIONAL

Tun M: A Forever Legacy, pameran hargai legasi PM

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Pameran lukisan, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, adalah sebagai tanda penghargaan komuniti artis kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa berkata, pameran dengan lebih 100 karya seni lukisan dan potret membabitkan artis daripada 40 negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia, diilhamkan daripada legasi Dr Mahathir.

“Ia adalah cara unik untuk komuniti Universiti Perdana menyatakan rasa syukur dan memberi penghormatan kepada Dr Mahathir.

“Hakikat semua artis begitu bermurah hati mengorbankan masa dan komited mengambil bahagian dalam pameran ini mewakili semua generasi muda dan tua, tempatan juga antarabangsa bagi menunjukkan rasa kagum terhadapnya,” katanya.

Norpisah berkata demikian sempena lawatan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke universiti itu, hari ini, bagi menyaksikan pameran berkenaan.

Beliau berkata, sebagai penasihat Universiti Perdana, Dr Mahathir adalah tokoh utama dalam pemikiran dan perkembangannya.

Pelukis tempatan, James Yip berkata, semua pelukis menyertai pameran itu berbesar hati menyumbang karya mereka tanpa memikirkan keuntungan material.

“Apabila pameran pertama kali dibuka pada 10 Julai lalu, 93 karya seni dipamerkan sebagai sambutan hari lahir Dr Mahathir ke 93 tahun dan sejak itu, beberapa karya lagi ditambah bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Selain pelukis tempatan, pameran itu turut disertai pengkarya seni antaranya dari Algeria, Bangladesh, Canada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Mexico, Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, India, Filipina dan Hungary.

Pameran Tun M: A Forever Legacy di universiti itu terbuka kepada orang ramai secara percuma dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang.


Pengarang :