NASIONAL

Ada MP lemah penguasaan bahasa, Anwar saran menteri adakan kursus

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Penggunaan Bahasa Melayu khasnya dalam kalangan Ahli Parlimen wajar diperbaiki lagi.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana pada masa ini masih terdapat sesetengah Ahli Parlimen yang lemah penguasaan Bahasa Melayu termasuk Ahli Parlimen Melayu sendiri.

“Saya tahu, saya bekerja 20 tahun rapat dan dekat dengan DAP yang dulunya dibimbangi tetapi seperti mana yang saudara tahu, ramai pemimpin DAP kalau berbicara di Parlimen lebih petah bicaranya dalam bahasa Melayu ketimbang Ahli Parlimen Melayu sendiri.

“Jadi saya kira salah satu langkah utama menteri yang harus dicuba menteri ialah mengadakan kursus bahasa untuk Ahli Parlimen di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pidatonya bertajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa pada program Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Anwar dalam pidatonya turut menegaskan jaminan beliau kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan tidak akan terjejas.

Katanya, kedudukan Bahasa Melayu turut dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, walaupun masih terdapat kelemahan penguasaan Bahasa Melayu, namun secara amnya penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat semakin baik.

“Kita berada dalam tahun 2018, saya tidak ada lagi perasaan tidak selamat tentang kedudukan bahasa kebangsaan di mana sekarang ini ramai anak Melayu, Cina, India, Kadazan pintar menguasai bahasa.

“Sekarang kita tidak ada lagi dalam kedudukan wacana sengit tahun 1950an, 1960an tentang apa kedudukan bahasa kebangsaan,” katanya lagi.

Syarahan Negarawan 2018 yang disaksikan kira-kira 500 hadirin pagi tadi turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.


Pengarang :