SELANGOR

Bantu penduduk Pangsapuri Indahria isu tanah mendap

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia membantu penduduk Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga menyelesaikan masalah tanah mendap di kawasan parkir pangsapuri berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pihaknya sudah membawa perkara itu ke pengetahuan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam untuk melihat keadaan dan mengambil langkah seterusnya.

“Walaupun pangsapuri itu tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri tetapi kita bersedia membantu mereka termasuk menyaman pemaju jika perlu,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, isu tanah mendap itu semakin mengancam keselamatan penduduk dan kini memberi kesan kepada struktur bangunan pangsapuri.

“Sebelum ini, pemaju menunding jari kepada Kerajaan Negeri, sedangkan di pihak kerajaan tidak ada kena mengena.

“Sebelum ini, kita juga sudah melantik kajian Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sebagai perunding geoteknologi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap struktur bangunan dan kawasan pangsapuri itu bagi mengetahui keadaan sebenar mendapan tanah yang berlaku,” katanya.

Pangsapuri berkenaan siap pada 2006 dan tanah mendap di kawasan parkir itu bermula sejak 2009.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 1,000 penduduk di pangsapuri terbabit bimbang terhadap keselamatan mereka apabila rekahan tanah di bangunan itu semakin serius.

Keretakan itu dipercayai berpunca daripada rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat terbabit yang menyebabkan tiang struktur parkir condong.

 


Pengarang :