BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

E-dagang peluang luas perniagaan secara maya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus menyediakan ruang dan peluang untuk peniaga tempatan yang ingin beralih ke e-dagang selari perkembangan semasa dunia perniagaan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, kesediaan mereka bersaing seiring cabaran perniagaan menerusi inovasi dan kreativiti wajar dicontohi semua pihak untuk terus memantapkan persaingan e-dagang.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) menetapkan inisiatif membantu peniaga tempatan dalam peralihan ke e-dagang.

“Malaysia akan melalui perubahan berterusan dalam sektor ekonomi digital yang perlu dibincangkan dan dinilai semula setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena SITEC Malaysia Top EC Merchant Award 2018 kali ketiga, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Chang Khim berkata, peniaga tempatan kini boleh mempelajari e-dagang menerusi alam maya tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal.

Katanya, kesediaan komuniti setempat berkongsi pengalaman dan pandangan membuka lebih ruang kepada penyertaan lebih ramai peniaga e-dagang.

“Inisiatif ‘Online 100’ juga membantu lebih daripada 400 perniagaan berasaskan batuan beralih kepada penjualan secara dalam talian dengan nilai dagangan kasar lebih RM8 juta.

“Terdapat juga portal pembelajaran maya SITEC Academy, bagi mereka yang tidak dapat menghadiri kelas e-dagang secara fizikal,” katanya.

 


Pengarang :