PBTSELANGOR

Terap amalan jaga kebersihan ketika di pantai

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 15 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyarankan masyarakat supaya mengamalkan konsep menjaga kebersihan ketika berada di pantai.

Penolong Pegawai Perancang Bandar Kanannya, Nurasyikin Mohamed Yusuf berkata, hal itu ekoran wujudnya banyak sampah yang akan menyebabkan pencemaran dan kekotoran di persekitaran pantai itu.

Katanya, masyarakat perlu mengambil serius penjagaan alam sekitar demi generasi akan datang.

“Kempen kesedaran penjagaan alam sekitar sudah banyak dilaksanakan, namun pucuk pangkalnya tetap atas diri masing-masing untuk mengambil serius isu ini.

“Saya ingin menyarankan kepada mereka yang ke pantai supaya sentiasa tanamkan sifat menjaga kebersihan dengan setiap sampah dibuang dalam tong sampah atau jika tiada, simpan dulu dan buang apabila tiba di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pembersihan Pantai Cunang, Tanjung Sepat, di sini.

Beliau turut menggalakan masyarakat bersama menjaga kebersihan pantai dan memupuk amalan memanfaatkan tong sampah.

dav

Katanya, hal itu kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata walaupun terdapat tong sampah, di kawasan terbabit.

“Ssaya optimis jika kita terapkan amalan kasih sayang kepada alam sekitar, maka kita akan memiliki masa depan yang indah dan bersih,” katanya.

Pada masa sama, Nurasyikin berkata, terdapat tiga lagi pantai di bawah pentadbiran MDKL antaranya Pantai Morib, Pantai Kelanang dan Pantai Batu Laut.

“Sebenarnya pembersihan setiap pantai ini dilakukan hampir setiap minggu dan ada antaranya kita bekerjasama dengan sektor swasta.

“Di Pantai Cunang ini pula sudah lebih 30 kerja pembersihan kita lakukan sejak 2015, termasuk penanaman semula pokok bakau dan rhu,” katanya.

 


Pengarang :