PENDIDIKANSELANGOR

Guna botol terbuang jadi Jalur Gemilang

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANTING, 15 SEPT: Sambutan Hari Malaysia terus merasa kehangatannya apabila warga Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit menggunakan botol mineral terbuang untuk dijadikan Jalur Gemilang.

Guru Bahasa Melayu, Reka Bentuk dan Teknologinya, Abdul Mohamad berkata, kesemua guru dan pelajar menggunakan 308 botol terbuang dan dicat semula untuk dijadikan bendera.

Katanya, idea untuk menghasilkan bendera unik itu tercetus apabila melihat longgokan botol mineral yang memenuhi tempat pembuangan sampah.

“Kami mengambil masa selama dua minggu untuk mengecat botol ini dan kemudiannya digantung sehingga membentuk Jalur Gemilang.

“Ini kali pertama SK Olak Lempit membuat bendera unik dari bahan kitar semula ini,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, semua warga SK Olak Lempit sentiasa bersemangat ketika tiba sambutan Hari Kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia, saban tahun.

Abdul berkata, tahun lalu, pihaknya memeriahkan sambutan kemerdekaan dengan membina mural bendera Jalur Gemilang menggunakan tapak tangan guru dan murid yang dicat.

“Matlamat sekolah mewujudkan program sebegini kerana mahu mewujudkan rasa bangga, syukur, sayang dan semangat patriotik dalam kalangan warga sekolah khasnya serta masyarakat sekeliling amnya.

“SK Olak Lempit juga mahu memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar melalui program kitar semula bahan terbuang,” katanya.


Pengarang :