GLOBAL

Guna Facebook kesan mangsa gempa-tsunami hilang

JAKARTA 30 SEPT: Rakyat Indonesia yang terdesak untuk mengesan ahli keluarga yang masih hilang dalam gempa bumi dan tsunami yang melanda pulau Sulawesi, menggunakan media sosial seperti Facebook untuk membantu pencarian mereka.

Akibat tahap kemusnahan yang belum jelas, telekomunikasi yang terjejas selain beberapa kawasan yang sukar dimasuki, ahli keluarga mula memuat naik gambar dan keterangan mangsa yang hilang serta nombor untuk dihubungi.

“Pernahkah anda melihat salah seorang ahli keluarga saya dalam gambar ini?” tanya seorang pengguna kumpulan Facebook dengan 6,843 ahli itu.

Selain cuba mengesan insan tersayang, ruang ini turut digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai penduduk Palu yang berjaya dipindahkan ke kawasan selamat dan masalah yang dihadapi mangsa akibat malapetaka itu.

Lebih menyedihkan lagi, ada keluarga yang terus memberikan arahan sekiranya mayat anak mereka ditemui.

“Sekiranya mayat anak saya ditemui, saya mohon dia tidak dikebumikan secara beramai-ramai, kami akan mengambil mayatnya,” kata satu muat naik di Facebook, sambil menyebut nama mangsa.

SUMBER: AFP


Pengarang :