NASIONAL

Highland Towers roboh pada Oktober

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 SEPT: Bangunan Highland Towers dijangka akan dirobohkan, pada Oktober ini setelah rancangan pembangunan semula dijangka, bermula Disember 2018.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perobohan akan diuruskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya selepas isu teknikal dan berkaitan diselesaikan.

Katanya, pembentukan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers berjaya menyelesaikan beberapa isu berbangkit dan mengenal pasti semua pemilik unit terbabit.

“Pemaju dan Jabatan Insolvensi tampil ke depan bersatu dalam mesyuarat penyelarasan untuk peringkat roboh serta cadangan langkah seterusnya.

“Tanpa jawatankuasa ini, tidak mungkin isu yang berlarutan selama 25 tahun ini menemui jalan penyelesaian,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut 48 nyawa.

Pada Ogos lalu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mencadangkan kawasan itu dijadikan taman rekreasi menggantikan perumahan kos rendah B40 selepas menyedari tapak berkenaan tidak sesuai untuk projek pembinaan bangunan.

 


Pengarang :