SELANGOR

Hukum parti sebantal dengan perasuah dan perompak

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerjasama politik antara PAS dan Umno menyebabkan parti itu gagal membuat pertimbangan tepat apabila sanggup memberi sokongan kepada pihak yang terbabit dengan rasuah serta merompak kekayaan negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menghukum PAS kerana sanggup menyokong parti perasuah dan perompak.

“Berapa ramai golongan berpendapatan kecil, kos hidup naik dan kos pendidikan naik. Halimah tak nampak, sedangkan bulan terang benderang tetapi tak nampak sebab bantalnya sama, tilamnya sama, katilnya sama.

“Saya nak isytiharkan malam ini di hadapan rakyat Seri Setia, ayuh pertahankan prinsip mana-mana individu, kelompok, parti yang menyokong perasuah dan perompak mereka perlu dihukum. Kebumikan parti ini di DUN Seri Setia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PAKATAN) PRK DUN Seri Setia, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, calon PAS, Dr Halimah Ali, sekali lagi melakukan kesilapan apabila memberi sokongan kepada pihak yang menyebabkan kehidupan rakyat terbeban ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Ketika menyentuh pemilihan Halimey Abu Bakar sebagai calon PAKATAN, Mohamed Azmin menegaskan, beliau seorang anak muda yang sangat layak mewakili penduduk Seri Setia.

Katanya, selain sudah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya selama hampir 10 tahun, namun ibu bapanya juga seorang yang sangat dihormati.

“Kita ada anak muda yang bukan satu dua hari kita kenal. Buat apa nak pilih orang yang baru 21 hari baru nak perkenalkan diri di sini, sedangkan kita ada anak muda yang dah dua dekad berjuang, di sini,” katanya.


Pengarang :