NASIONAL

Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan Akta Sabotaj Ekonomi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kerajaan Persekutuan sedang meneliti langkah menggubal peruntukan Akta Sabotaj Ekonomi bagi mengekang tindakan meraih keuntungan segeranmenerusi penjualan kontrak dan Permit Import (AP).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kabinet mengambil perhatian kepentingan cadangan itu selain masih dalam peringkat rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Mana-mana kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat, tetapi kepentingannya dipindahkan atau dijual kepada pihak lain tidak boleh berlaku sama sekali.

“Oleh itu, kita dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menggubal peruntukan undang-undang Akta Sabotaj Ekonomi,” katanya pada sidang media selepas penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, hari ini.

Terdahulu, pada sesi pembentangan sebelah pagi, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, mengusulkan cadangan pelaksanaan akta terbabit bagi mengherat pesalah ke muka pengadilan.

Beliau dilaporkan berkata, pelbagai keistimewaan menerusi penganugerahan kontrak dan AP diberikan kepada Bumiputera, selaras peruntukan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak 1970-an, kita ada dasar ekonomi untuk Bumiputera mengikut Perlembagaan Persekutuan, namun tiada tindakan diambil terhadap individu yang mengkhianatinya,” katanya.


Pengarang :