EKONOMI

Pakar: PKS hilang 5% hasil setahun tidak digitalkan pengurusan data

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Majoriti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan kehilangan sehingga lima peratus daripada hasil perniagaan mereka setahun kerana masih tidak mengguna pakai automasi data raya dalam perniagaan mereka, kata seorang pakar.

Pengasas Centre of Applied Data Science (CADS), Sharala Axryd berkata, senario ini sekiranya tidak berubah dalam waku terdekat ini akan menyebabkan PKS tidak dapat bertahan bagi tempoh jangka panjang dan seterusnya mereka terpaksa menutup perniagaan.

“Kesedaran tentang kepentingan pendigitalan dalam pengurusan data dalam kalangan PKS ketika ini adalah sangat rendah. Mereka kemungkinan tidak menyedari dunia sedang bergerak ke arah pendigitalan, mereka juga perlu beralih ke arah itu jika mahu meneruskan kelangsungan hidup.

“Mereka tidak boleh kekal dengan cara tradisional menjalankan perniagaan yang termasuk proses pengurusan data secara manual kerana akan ada banyak kesilapan manusia yang boleh menyebabkan ketirisan hasil,” katanya kepada pemberita selepas Forum CADS’ Breakfast – Mengguna Pakai Data Raya Untuk Bendung Ketirisan Hasil dalam PKS, di sini, hari ini.

Ketirisan hasil yang sering berlaku tanpa disedari, boleh membawa kesan ketara kepada organisasi, terutamanya perniagaan yang sedang berkembang seperti PKS, dari segi kehilangan hasil atau malahan terlebih bayar kepada pelanggan mereka, katanya.

CADS, platform sehenti dan pusat kecemerlangan bagi data sains di Malaysia dan rantau ASEAN, percaya ketirisan hasil ini boleh dikesan, diperbaiki dan dipulihkan yang seterusnya dapat mengelakkan ketirisan pada masa depan, menggunakan pendekatan yang khusus dan efektif.

Axryd berkata ketirisan hasil adalah satu cabaran perniagaan yang rumit melibatkan pelbagai pemegang kepentingan dalaman, pelbagai disiplin operasi dan pakar fungsian.

“Saintis data kami berupaya membantu perniagaan yang dinamik dan berkembang dalam pelbagai sektor dan industri dengan mengenal pasti dan melaksanakan strategi yang sesuai, kawalan, dasar yang efektif dan keupayaan pakar untuk menyediakan nilai perniagaan ketara.

“Selain itu, kami mahu mengetengahkan punca-punca asas sebenar ketirisan hasil dan memberi bimbingan apakah tindakan yang benar-benar diperlukan untuk mengurangkan dan mencegah ketirisan pada masa depan,” katanya.

Forum yang berlangsung selama dua jam itu adalah yang pertama daripada siri sesi yang dianjurkan CADS untuk berinteraksi dengan dengan perniagaan Malaysia dan menekankan kepentingan sains data dalam sesebuah organisasi.

“Sains data boleh menambah nilai kepada mana-mana perniagaan yang boleh menggunakan dengan baik data mereka. Sasaran kami adalah untuk bekerjasama dengan organisasi di Malaysia bagi memperkasakan nilai perniagaan mereka dan membantu mereka menyedari bahawa organisasi kecil juga perlu celik data,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :