Selangorkini
PELANCONGAN SELANGOR

Pantai Cunang wujud selepas tsunami, MDKL komited komersialkan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 16 SEPT: Mempunyai keunikan tersendiri, Pantai Cunang, Tanjung Sepat wujud seusai berlakunya bencana besar tsunami yang melanda Acheh pada 2004.

Penolong Pegawai Perancang Bandar Kanan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Nurasyikin Mohamed Yusuf berkata, pihaknya komited mahu mengkomersialkan lagi pantai itu supaya ia lebih dikenali sehingga ke peringkat Antarabangsa.

Katanya, pihaknya tidak menyedari wujudnya pantai itu kerana sebelum ini ia merupakan kawasan berlumpur yang dipenuhi paya bakau sahaja.

“Namun, dalam masa tiga hingga empat tahun selepas berlakunya Tsunami, wujudnya beting pasir di sini yang sekali gus terjadilah pantai.

“Uniknya mengenai pantai ini adalah apabila kawasan paya bakau menjadi lapisan kawasan berpasir pantai sepanjang 520 meter,” katanya kepada SelangorKini.

Nurasyikin berkata, MDKL selaku pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut mengambil tanggungjawab dalam menambah baik kawasan rekreasi Pantai Cunang itu, sebagai usaha memberi keselesaan kepada penduduk dan pengunjung.

“Kami di MDKL komited mahu menaiktaraf ekonomi penduduk kawasan sekitar Pantai Cunang dan membantu menjadikan pantai ini sebuah tempat pelancongan terkenal.

“Selain itu, kita berusaha untuk melestarikan, memelihara dan memulihara ekologi bakau serta kawasan pantai berpasir sekali gus meningkatkan kerjasama antara satu sama lain dalam proses pelaksanaan program kemasyarakatan semua pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa pengurusan di Pantai Cunang adalah bawah tanggungjawab Jawatankuasa Kampung Orang Tanjung Sepat (JKK) juga merupakan sebuah komitmen yang sangat baik dan sistematik.

Katanya, penduduk mampu menguruskan kawasan pantai dan menyelenggara segala kemudahan supaya ia mempunyai daya huni yang selesa, mampan serta selamat untuk didiami sekali gus menjalankan aktiviti riadah.

Manakala, Nurasyikin berkata, nama Pantai Cunang itu pula dicipta sendiri oleh komuniti tempatan (Orang Asal) sendiri dimana ‘cunang’ yang membawa maksud tenang dan damai dalam Bahasa Mahmeri.

“Komuniti di Pantai Cunang merupakan kaum pribumi Orang Asal di mana merekalah yang mengamalkan inisiatif hijau seperti kitar semula, memelihara bakau, menanam semula spesis semulajadi di kawasan ini,” katanya.

Menariknya, Nurasyikin berkata, Pantai Cunang pernah dinobatkan sebagai Johan Pantai Angkat Negeri Selangor pada 2015 kerana mempunyai pengurusan dan penjagaan pantai terbaik menerusi Program Pantai Angkat Negeri Selangor.

“Pemerkasaan pelaksanaan elemen Local Agenda 21 di Pantai Cunang sebagai “Cunang Eco Beach” mencapai tahap membanggakan dengan adanya peningkatan tahap kebersihan, kualiti persekitaran dan pengindahan yang konsisten seiring dengan usaha diberikan oleh penduduk tempatan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Malah, melalui aktiviti kitar semula, penduduk boleh menghasilkan pelbagai barangan yang boleh digunapakai di kawasan ini contohnya perabot, taman, dekorasi dan penceriaan kawasan pantai, barangan kraf yang boleh dijual kepada pengunjung Pantai Cunang. Secara tidak langsung ia dapat menjana pendapatan terhadap penduduk setempat,” katanya.

Pantai Cunang mula dibangunkan pada 2010 dengan pembinaan pondok rehat dan hujung 2013 terdapat 22 pondok rehat yang dibina sendiri oleh komuniti Orang Asal di sini manakala tahun 2014 ia mula dikenali pengunjung dari daerah luar Kuala Langat walaupun pada ketika itu kemudahan agak terhad.

Di antara kemudahan yang disediakan adalah seperti tandas, gelanggang futsal, jambatan, Bakau Hall (dilengkapi dengan tangki SPAH dan lampu solar), Bakau Trail, pondok (penginapan) dan penyediaan sumber air bersih.

 


Pengarang :