AGAMANASIONAL

Pembangunan mesra rakyat, mahu laksana modul MAPIM secara ‘smart partnership’

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Kerajaan hari ini komited dalam membangunkan pembangunan bersifat mesra rakyat dan mengutamakan kesejahteraan semua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia membabitkan pelbagai golongan dan peringkat sama ada dari sebuah kariah sehingga peringkat negara.

Katanya, usaha digerakkan oleh kerajaan tidak akan lengkap dan berkesan sekiranya tiada kerjasama dari masyarakat setempat.

“Oleh itu, program Transformasi Qaryah yang menyediakan wadah lokal sebagai medan perubahan di peringkat mikro akan membantu kerajaan untuk merealisasikan perubahan di peringkat makro.

“Kita sedar dan insaf terhadap realiti masyarakat kita kini berdepan dengan cabaran sosial budaya, ekonomi dan pengurusan masyarakat yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Tiga Tahun Transformasi Qaryah Malaysia di Geno Hotel, di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata modul yang disediakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu adalah untuk merealisasikan suatu pembinaan masyarakat yang lebih berdikari dan berdaya saing dalam melaksanakan tanggungjawab membangun umat terbaik.

Katanya, 10 modul dalam Program Transformasi Qaryah yang membabitkan perlindungan zuriat, pembinaan keluarga, hidup mandiri, pembangunan wanita dan generasi muda, interaksi antara kaum, institusi sekolah dan masjid jelas menyentuh aspek penting dalam pembinaan masyarakat.

“Modul-modul ini sangat membantu penggerak masyarakat untuk memulakan proses perubahan. Ia boleh memberi panduan kepada pemimpin masyarakat untuk memulakan inisiatif perubahan diperingkat lokal.

“Saya faham bahawa inisiatif ini bukan mudah, dengan segala jentera dan dana kerajaan yang ada belum tentu mampu membawa agenda perubahan.

“Kita mahu beranjak dari budaya kebergantungan, feudal dan penting diri kepada hidup berdikari, demokratik dan mengutamakan kepentingan kolektif,” katanya.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah mahu modul itu dapat dikemukakan oleh MAPIM dengan intensif kepada jabatan-jabatan dan kementerian yang berkaitan untuk dilaksanakan secara ‘Smart Partnership’.

“Cabaran kira yang pelbagai memerlukan usaha semua pihak. Modul ini adalah projek besar MAPIM untuk menyumbang kepada islah masyarakat berdikari dan berinisiatif.

“Ini adalah gerak kerja yang sangat serius, merentas generasi, sangat terfokus dan merangkumi seluruh masyarakat,” katanya.

 


Pengarang :