BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Kampung Pasir terima jambatan baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU LANGAT, 26 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.011 juta bagi membina jambatan baharu, di Kampung Pasir, Sungai Lalang, di sini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia bagi menggantikan jambatan lama yang memiliki struktur kayu dan tidak selamat jika terus digunakan.

“Bagi mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur yang berkualiti, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Selangor berjaya menyiapkan projek menggantikan Jambatan Kampung Pasir dalam jangka masa lebih awal daripada sepatutnya.

“Hal ini seharusnya dipuji dan saya optimis pembinaan jambatan konkrit baharu ini mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar serta sistem perhubungan awam yang sering melalui kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Menggantikan Jambatan Kampung Pasir, Sungai Lalang, daerah Hulu Langat, hari ini.

Mengulas berkenaan pemasangan lampu jalan di kawasan itu, beliau berkata, ia akan dibincang dalam masa terdekat bersama pihak terbabit.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, beliau komited memastikan projek pembangunan berkaitan infrastruktur, di Selangor diteliti sewajarnya.

Terdahulu, Projek Jambatan Kampung Pasir dilaksanakan kontraktor Tekad Nusantara Sdn Bhd dan Jurutera Perunding, Ganding Asli secara kontrak konvensional (perunding) yang dimulakan pembinaan, pada 1 Februari 2017 dan siap sepenuhnya, pada 9 April lalu.

Skop kerja meliputi pembersihan tapak dan kerja perobohan, kerja tanah, perparitan, turapan, perabot jalan, kerja geoteknik, pelan pengurusan trafik, kerja perlindungan alam sekitar dan kerja rutin penyelenggaraan.

Difahamkan, jambatan itu mampu memberi kemudahan kepada penduduk di 280 rumah sekitar kampung berkenaan.


Pengarang :