KENYATAAN MEDIARENCANASELANGOR

PRK DUN Balakong & Seri Setia: Lima faktor peratusan mengundi bawah 50%

Pilihan Raya Kecil (PRK)  N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan PRK N.27 DUN Balakong dilaksanakan pada 8 September lalu dengan peratusan turun mengundi kedua-duanya di bawah paras 50 peratus (%).

PRK Seri Setia mencatatkan peratusan turun mengundi 44% manakala bagi DUN Balakong adalah 43%. Tiga PRK yang berlangsung pasca PRU14 termasuk PRK Sungai Kandis memperlihatkan peratusan turun mengundi adalah di bawah 50%.

Peratusan turun mengundi di bawah 50% pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di Malaysia adalah di PRK Penanti, padatahun 2009 .

Namun, senario PRK ini berlainan disebabkan parti Barisan Nasional tidak menghantar calon.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebagai parti yang bertanding masih dalam kolisi bersama PAS hanya ditentang tiga calon bebas. Keputusan pilihan raya memihak kepada kepada KEADILAN.

Analisis mikro berdasarkan daerah mengundi memperlihatkan kemenangan disumbangkan oleh gabungan ahli pembangkang ketika itu yang terdiri daripada KEADILAN, PAS dan DAP. Suasana ketika itu berbeza dengan suasana kini pasca PRU 14.

Institut Darul Ehsan (IDE) terbabit secara langsung membuat penyelidikan dan pemerhatian dalam PRK Seri Setia termasuk menghantar wakil berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati bebas.

IDE menghantar tiga sukarelawan enumerator di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Seri Setia berjumlah 20 daerah mengundi. Seramai 80 enumerator terbabit di lapangan.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan analisis IDE mendapati peratusan keluar mengundi di kedua-dua PRK khususnya di DUN Seri Setia disebabkan beberapa faktor berikut:

PERTAMA: Kesan Persempadanan Pilihan Raya PRU14[i]

Analisis awal IDE berkaitan PRK Sungai Kandis, peratusan turun mengundi 49% disumbangkan oleh faktor pengundi tidak perasan atau sedar bahawa mereka terbabit dalam PRK berkenaan.

Faktor persempadanan baru menjadikan geografi kawasan berubah apabila tujuh daerah mengundi baru dimasukkan di DUN Sungai Kandis. Hal yang sama berlaku di DUN Seri Setia apabila satu daerah mengundi dari N.40 Kota Anggerik iaitu Taman TTDI Jaya dan dua daerah mengundi dari N.39 Kota Damansara iaitu Taman Glenmarie dan Ara Damansara dimasukkan pada PRU14.

Tiga daerah mengundi itu sebenarnya membabitkan 94 lokaliti yang terdiri dari taman perumahan, kampung, flat dan kawasan kediaman. Persempadanan terakhir berlaku pada 2004 iaitu PRU11.

Oleh itu, pengundi melalui tiga pilihan raya sejak 14 tahun lalu tanpa persempadanan baru. Pengundi turun mengundi pada 9 Mei lalu, mengundi bukan kerana dia tahu Parlimen atau DUN berkaitan tetapi turun mengundi atas semangat pilihan raya dan proses demokrasi.

Oleh itu, inovasi baru wajar diterokai seperti negara lain umpama Indonesia, UK dan US yang mempunyai kaedah mengundang pengundi datang dengan surat, kad atau pesanan telefon untuk turun mengundi.

 

KEDUA: Dihantui persepsi negatif terhadap proses pilihan raya Mei 2018.

Komen masyarakat awam khususnya yang berumur mempunyai impak psikologi apabila masih ‘trauma’ dengan situasi yang berlaku dalam PRU14.

Suasana keluar mengundi PRU14 di kebanyakan tempat cukup luar biasa hingga pengundi terpaksa beratur panjang, suasana panas, dan saluran yang mungkin tidak sesuai khususnya, di waktu puncak.

Respon yang diterima IDE, masyarakat rasa letih dan takut untuk beratur panjang. Pengalaman negatif yang mereka lalui ketika PRU14 masih menghantui pengundi.

KETIGA: Persepsi psikologi pengundi yang merasa “segalanya ok!” (complacent feel good factor)

Hasil kajian IDE sejak 2016 mengkaji persepsi pengundi dalam siri survei yang dijalankan, IDE membahagikan pengundi kepada tiga kategori iaitu pengundi ahli parti berdaftar, pengundi penyokong dan pengundi atas pagar. ‘Trend’ ini jelas wujud dalam penyelidikan yang dijalankan.

Pengundi yang turun mengundi kebanyakannya pengundi berumur 40  ke 60 tahun terdiri dalam kalangan ahli parti dan penyokong tegar parti.

Survei IDE sebelum ini, Survei Mood Rakyat #Mood of the Nation dan Survei Persepsi Rakyat Selangor (5 Siri) yang dijalankan pada tahun 2017 dan 2018, mendapati sekitar 25% sahaja pengundi Selangor berdaftar sebagai ahli parti.

Kebanyakan pengundi atas pagar yang ditemui merasakan mereka tiada objektif besar terhadap PRK kali ini dan menjangkakan Pakatan Harapan akan menang.

Pengundi dalam kategori ini merasakan mereka tiada motivasi khusus untuk keluar pengundi kerana Pakatan Harapan kekal memerintah Selangor dan seterusnya Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) berubah daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.

Perubahan yang berlaku selepas 60 tahun ini menjadikan motivasi masyarakat seolah-olah mereka tiada motivasi khusus untuk menukar kerajaan.

Persepsi ini memberi tanda aras bahawa masyarakat masih memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk terus memperjuangkan isu rakyat. Persepsi ini jelas berlaku di PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Faktor persempadanan tidak banyak menjejaskan PRK Balakong, tetapi faktor ini antara faktor utama yang menyumbang kepada persepsi pengundi.

Rakyat masih menilai perjuangan yang bakal dibawa oleh Umno/Barisan Nasional, MCA dan PAS sebagai pembangkang dan juga menilai Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

KEEMPAT: Tarikh PRK tidak sesuai dengan mood cuti panjang.

Pelbagai lapisan masyarakat di DUN Seri Setia dan DUN Balakong khususnya, sudah merancang cuti luar kawasan sejak awal memanfaatkan cuti panjang dalam tempoh tiga minggu ini hingga ke cuti sambutan Hari Malaysia 16 September 2018, minggu hadapan.

Pemerhatian dan temuduga yang dijalankan kepada petugas parti, memberikan respon bahawa mereka mendapati penghuni rumah sekitar lokaliti daerah mengundi ada yang kosong kerana pergi bercuti.

Wajar SPR untuk menilai dan mempertimbangkan suasana sesuai untuk mengadakan pilihan raya dengan mendapat maklum balas daripada parti utama yang bakal bertanding.
Faktor keempat ini menyebabkan PRK Balakong dan Seri Setia peratusan mengundi berbeza 5% ke 6% jauh lebih rendah daripada PRK Sungai Kandis.
Tempoh berkempen 21 hari juga memenatkan jentera pilihan raya yang sukar untuk secara konsisten bermotivasi tinggi berkempen dalam tempoh terbabit.

KELIMA: Suasana Pengundian Lembah Kelang yang terdiri dari penduduk Bandar dan Pinggir Bandar.

PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia dan PRK Balakong adalah sebahagian besar demografi dan geografi penduduknya boleh dikategorikan sebagai pengundi bandar serta pinggir bandar.

Demografi masyarakat berdekatan dengan ibu kota adalah masyarakat yang digolongkan sebagai ‘smart voters’ yang tidak mudah bergantung kepada sentimen semata-mata.

Justeru, psikologi pengundi sedemikian mudah dipengaruhi dengan faktor yang dinyatakan, di atas. Mereka ini adalah pengundi yang saban hari mudah menerima pendedahan isu politik daripada media cetak, elektronik dan media sosial.

Psikologi mereka juga mungkin sudah muak untuk ‘berpolitik’ dalam suasana PRU14 baru berlalu, dalam masa tiga bulan. Peratusan turun mengundi di PRK lain sebagai contoh PRK Sungai Besar (74%), PRK Kuala Kangsar (71%), PRK Teluk Intan (67.4%), PRK Rompin (73%), PRK Sungai Limau (85.5%). Semua PRK yang dinyatakan di atas, demografi dan geografi penduduk berlainan dengan tiga PRK ini iaitu di luar Lembah Kelang.

Berdasarkan penelitian ini, pelbagai pihak sama ada parti politik atau Suruhanjaya Pilihan Raya khususnya wajar membuat ‘post-mortem’ untuk menilai kembali isu yang timbul termasuk cara pengendalian PRK kali ini untuk ditambahbaik, pada masa akan datang.

Walaupun wujud faktor yang sudah dinyatakan memberi kesan kepada penurunan peratusan keluar mengundi, Pakatan Harapan diwakili Halimey Abu Bakar masih mampu meraih kemenangan dengan mendapat 58.60% undi iaitu 13,725 undi, manakala Dr Halimah Ali daripada PAS mendapat 9698 atau 41.40% undi daripada 23,423 pengundi.

PRK DUN Balakong menyaksikan Wong Siew Ki (DAP) mendapat majoriti 18,533 undi walaupun kadar turun mengundi dicatatkan hanya 42.97%. Asas utama yang membawa kemenangan ini adalah calon anak tempatan antara faktor penyumbang utama.

IDE akan turut membuat analisis berkaitan dengan keputusan PRK yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini.

KUMPULAN PENYELIDIK INSTITUT DARUL EHSAN (IDE)

Kluster Penyelidikan Institut Darul Ehsan diketuai oleh Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. (Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh diajukan kepada En Khairul Arifin Mohd Munir, Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, [email protected]).


Pengarang :