SELANGOR

PRK Seri Setia: PAKATAN menang, pembangkang gigit jari lagi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERI SETIA, 8 SEPT: Walaupun peratusan keluar mengundi rendah, namun pembangkang di Selangor sekali lagi menggigit jari apabila calon mereka daripada PAS, Dr Halimah Ali tewas di tangan calon muda Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia.

Halimey menewaskan Halimah dengan majoriti 4,027 undi apabila Halimey meraih 13,725 undi berbanding Halimah yang hanya memperolehi 9,698 undi.

Keputusan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia, Dato Mohd Azizi Mohd Zain kira-kira jam 9.00 malam tadi.

DUN yang mempunyai 52,650 pengundi berdaftar itu menyaksikan hanya seramai 23,423 orang atau 44 peratus sahaja pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK kali ini berbanding PRU14 lalu sebanyak 84.18 peratus.

Sementara itu PRK kali ini turut menyaksikan sebanyak 164 undi rosak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Calon KEADILAN, Allahyarham Profesor Shaharuddin Badaruddin menang dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

Shaharuddin memperolehi 29,250 undi berbanding Yusoff (9,878), Mohd Ghazali (4,563) dan Vignes (217).

 


Pengarang :