EKONOMI

Ringgit diniaga 4.1300/1340 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 25 SEPT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini, susut daripada kenaikan semalam apabila sentimen negatif dolar AS menjejaskan minat terhadap mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu berada pada 4.1300/1340 berbanding 4.1270/1310 yang dicatatkan pada 6 petang semalam.

Beliau juga berkata meskipun peningkatan harga minyak, dengan penanda aras minyak mentah Brent melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh empat tahun pada malam tadi, minat terhadap ringgit menyusut berikutan kebimbangan akan peningkatan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China ditambah dengan keadaan politik yang tidak menentu di AS.

Pada Isnin, AS dan China mengenakan satu lagi tarif baharu ke atas barangan masing-masing apabila kedua-dua ekonomi besar dunia itu nampaknya tidak berganjak daripada pertelingkahan perdagangan yang berlaku ketika ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0245/0279 daripada 3.0246/0279 pada Isnin, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6571/6616 daripada 3.6632/6678 dan menokok berbanding euro kepada 4.8532/8583 daripada 4.8575/8626.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4157/4226 daripada 5.4146/4215.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :