PENDIDIKANSELANGOR

RM100,000 peruntukan awal naik taraf padang SMK Sungai Kertas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan berjumlah RM100,000 bakal disalurkan bagi kerja menaiktaraf padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun beliau masih menunggu laporan teknikal daripada pihak berkenaan untuk melihat perbelanjaan kos sebenar bagi menggerakkan pelaksanaan itu.

“Saya diberikan cadangan mengenai pelbagai kemudahan yang diperlukan termasuk padang sedia ada di sekolah ini dan saya percaya padang ini boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah termasuk komuniti di sini.

“Sudah pasti ia satu perkara yang patut difikirkan, akan tetapi saya perlu dapatkan jumlah sebenar dan buat masa ini kita anggarkan RM100,000 untuk keperluan itu.

“Malah, untuk membina padang sintetik sekurang-kurangnya kita memerlukan RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, berdasarkan pengalaman hampir 10 tahun menggalas tanggungjawab di Majlis Sukan Selangor (MSS), beliau akan membuat penelitian secara lebih mendalam, terutama dari aspek kemudahan yang sesuai di padang sekolah terbabit.

“Jadi jangan bimbang kerana saya akan berbincang perkara ini jika ada permohonan daripada pihak guru untuk menaiktaraf padang sedia ada supaya keadaan jadi lebih baik.

“Bagi memastikan padang ini dapat digunakan untuk kemudahan dan kebaikan masyarakat di sini, saya berharap pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat melakukan perbincangan berhubung usul ini,” katanya.


Pengarang :