NASIONAL

Sentimen pengundi Port Dickson terhadap Anwar positif

PORT DICKSON, 30 SEPT: Sentimen masyarakat Port Dickson terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, dilihat positif berdasarkan dapatan awal kaji selidik yang dijalankan PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata kaji selidik yang dijangka siap dalam tempoh beberapa hari lagi itu bertujuan mengetahui penerimaan pengundi tempatan terhadap Ketua Umum PKR itu.

“Dapatan awal kaji selidik kita nampak sentimen pengundi adalah positif terhadap Anwar dan ramai menyatakan kesediaan menerima beliau sebagai anggota Parlimen di sini, malah mereka teruja untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Selain itu, berdasarkan kehadiran penduduk pada hari penamaan calon semalam dan program parti pada hari pertama berkempen, kita dapati sambutan dan minat pengundi terhadap PH adalah baik dan memuaskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Fahmi berkata semua program kempen Anwar bagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian 13 Okt ini akan diperhebat dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk kempen dari rumah ke rumah.

Katanya, kempen menerusi media sosial juga akan digunakan sepenuhnya terutama bagi mengajak kira-kira 30 peratus pengundi Port Dickson yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi.

Ahmad Fahmi, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap kemungkinan penyebaran berita palsu mengenai Anwar menerusi media sosial sepanjang tempoh kempen.

 

Beliau bagaimanapun berkata ia berlaku namun amaran awal perlu dinyatakan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan berita seumpama itu.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru melibatkan PH, PAS dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :