PELANCONGANSELANGOR

Sertai perarakan Hari Kebangsaan, tonjol imej korporat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Penyertaan Tourism Selangor dalam perarakan Hari Kebangsaan 2018 bertujuan meningkatkan imej korporat dan menekankan kepentingan industri pelancongan, di Selangor khususnya pendapatan ekonomi negeri.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Tourism Selangor sebagai badan promosi pelancongan negeri, komited menjalankan aktivitinya serta menggalakkan pembangunan dalam pelancongan juga pelbagai fokus sektor.

“Tourism Selangor kali pertama menyertai perarakan, memaparkan kelainan dari segi kontinjen perbarisan dengan pelbagai gaya pakaian berwarna-warni, gelagat peserta menaiki keretapi mini dan aksi pertunjukan permainan api.

“Berjaya mencuit hati penonton, Tourism Selangor mendapat sorakan dan tepukan gemuruh dari pengunjung yang terhibur dengan persembahan berkenaan.

“Dari enam wakil penyertaan untuk kategori swasta/NGO/GLC, Tourism Selangor berjaya menduduki tempat keempat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, Tourism Selangor berharap penyertaannya dalam acara berkaitan dapat diteruskan pada setiap tahun dan akan kembali dengan idea baharu lebih menarik pada tahun hadapan.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan kali ini disambut penuh meriah dengan ribuan rakyat membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam sebagai menunjukkan semangat solidariti, perpaduan dan cinta negara yang tinggi.

“Pelbagai pengisian acara perbarisan dan perarakan dipersembahkan menjurus ke arah tema sambutannya, iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ serta turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan barisan kempimpinan Kerajaan Negeri.

“Kontinjen Tourism Selangor diketuai Rudy Jamali dan seramai 50 peserta daripada Sunway Lagoon selaku ikon pelancongan negeri, wakil kaum Mah Meri, MAH Selangor Chapter sebagai penggiat industri hotel, MATTA Selangor badan promosi pelancongan dan kakitangan Tourism Selangor,” katanya.

Katanya, Tourism Selangor melaksanakan kempen Discover Selangor, #TAKEMEANYWHERE untuk meletakkan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama, di Malaysia dan unggul di pentas global.


Pengarang :