SELANGOR

SPR mudahkan urusan mengundi

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan wanita mengandung membuang undi di aras bawah khususnya di pusat mengundi membabitkan tingkat atas bangunan.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan dengan persetujuan bersama ejen pengundian.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan berjaya dikawal Ketua Tempat Mengundi (KTM).

“Sebagai contoh orang muda yang ada masalah kesihatan, kita bawa kertas undi ke bawah dengan persetujuan ejen, jadi mereka tidak perlu naik ke atas,” katanya kepada media selepas meninjau perkembangan proses pembuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Seaport.

Sejak jam 8.30 pagi, beliau melawat pusat mengundi di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Subang dan Dewan D’ Kelana.

Dalam sidang media sama, Othman turut menyeru orang awam menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan tempoh masa diperuntukkan kurang dari empat jam.

Ini kerana sehingga jam 1 tengahari, statistik keluar mengundi bagi N.27 Balakong hanya sekitar 28 peratus ,manakala N.32 Seri Setia 31 peratus.


Pengarang :