NASIONAL

Anggota kabinet dilarang bawa pasangan ikuti lawatan kerja luar negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Anggota kabinet terbabit lawatan kerja ke luar negara kurang dari seminggu, tidak dibenarkan membawa pasangan masing-masing.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia antara pembaharuan dilaksanakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi menangani masalah rasuah yang berlaku sebelumnya.

“Ia antara perkara diputuskan di mana lawatan kerja itu adalah bersifat kerja dan tidak boleh membabitkan perkara lain iaitu membawa isteri (atau suami) bersama.

“Antara garis panduan ditetapkan ialah lawatan kerja kurang dari tujuh hari, hanya dua pegawai boleh dibawa (menteri atau timbalan menteri) untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berakhir wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua di ibu pejabat Sinar Harian di sini, hari ini.

Katanya, seseorang anggota kabinet itu hanya diizinkan membawa pasangan masing-masing sekiranya lawatan kerja dihadiri melepasi tempoh lebih tujuh hari.

“Tetapi Perdana Menteri dibolehkan membawa pasangannya (ke luar negara) atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri,” katanya menjawab pertanyaan media berhubung perkara itu.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dalam wacana berkenaan menjelaskan, pendekatan diambil kerajaan PAKATAN pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bagi mengatasi masalah rasuah yang berlaku daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, pemimpin menyertai lawatan kerja juga hanya dibolehkan hadir pada hari di mana ia berlangsung dan tidak dibenarkan pergi lebih awal.

“Jika pada masa dahulu, menteri pergi dua atau tiga hari lebih awak untu bermain golf dan isteri pergi membeli belah tetapi kini tidak dibolehkan lagi.

“Kerajaan juga menetapkan pengisytiharkan harta perlu dilakukan semua anggota kabinet dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding sebelumnya hanya diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.


Pengarang :