NASIONAL

Malaysia masih pertimbang tawaran pinjaman Jepun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Perbincangan antara Kerajaan Malaysia dan Jepun masih berjalan berhubung pinjaman yang ditawarkan negara itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan dan hanya akan menyetujui sekirannya tawaran itu memenuhi kehendak dalam mengatasi masalah hutang yang ditanggung negara ketika ini.

“Ia masih dalam perbincangan, kita sedang melihat tawaran diberikan Kerajaan Jepun itu.

“Kita boleh mempertimbangkannya sekiranya kadar faedah diberikan rendah dan boleh membantu menyelesaikan hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berakhir wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses peribincangan bagi mencapai persetujuan masih berjalan antara kedua-dua pihak.

“Sebelumnya, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) mengadakan pertemuan dengan delegasi Jepun dan mereka mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional, pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapati negara menghadapi masalah hutang lebih RM1 trilion.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaan menimbang mendapatkan kemudahan pinjaman itu bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu lebih enam peratus.

Pada masa dahulu, Kerajaan Malaysia pernah menerima kemudahan pinjaman daripada Jepun pada kadar faedah 0.7 peratus dengan tempoh bayaran semula selama 40 tahun.


Pengarang :