NASIONAL

Laksana tanggungjawab esok, pastikan yang jauh balik mengundi – Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT: Penduduk Port Dickson disaran keluar awal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang berlangsung esok.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penduduk Port Dickson turut memastikan ahli keluarga yang berada diluar kawasan pulang untuk membuang undi.

“Telefon anak masing-masing, ada yang tinggal di Kuala Lumpur, Senawang dan Shah Alam, mereka ini pengundi berdaftar bagi Port Dickson minta mereka balik dan mengundi esok.

“Ini kerana saya ada berjumpa dengan salah seorang pengundi yang tinggal di Australia, katanya dia balik semata-mata mahu mengundi, jadi ambillah peluang untuk membuang undi hari esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega PAKATAN di Dewan Kelab Sukan Pasir Panjang – DUN Linggi, hadir sama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini dilaporkan, PAKATAN telah mengenal pasti sejumlah 4,936 pengundi Port Dickson berada di luar kawasan, ia dilihat dengan bilangan terbesar yang tinggal di Selangor (1,915), diikuti oleh Johor (762), Kuala Lumpur (566) dan Melaka (589).

Setakat ini parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

 


Pengarang :