SUKANKINI

Bola sepak pekak, pengalaman berbeza pengadil dan pemain

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Berbanding pemain normal, perlawanan bola sepak membabitkan pemain pekak menghadirkan kelainan dan pengalaman berbeza kepada pengadil serta penonton.

Dengan setiap pergerakan pemain memerlukan pemerhatian teliti pengadil dan pegawai perlawanan, beberapa peraturan tambahan juga berbeza diperlukan bagi kelancaran permainan.

Ketua Pelantikan Pengadil Bolasepak untuk Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, P Samasuvam berkata, aspek utama diberi tumpuan dalam perkara itu adalah komunikasi bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.

“Komunikasi penting antara pengadil, pegawai perlawanan bersama pasukan dan pemain untuk tujuan ini dengan isu utama dihadapi ialah bahasa isyarat.

“Antara kaedah digunakan ialah pengadil menggunakan bendera yang dinaikkan apabila berlaku kesalahan dalam permainan untuk difahami pemain,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, ia pendekatan dipraktik bagi kemudahan pemain dan pasukan memahaminya supaya perlawanan dapat dihentikan serta tindakan diambil pengadil.

Katanya, walaupun jelas agak sukar kerana pemain mengalami masalah pendengaran dan pengadil kurang mampu berkomunikasi dengan bahasa isyarat tetapi kaedah digunakan memberi kelebihan untuk kelancaran sesuatu perlawanan.

“Ia nyata sedikit berbeza kepada pengadil kerana jika dalam perlawanan bola sepak membabitkan pemain normal, dengan hanya meniup wisel dan perlawanan diberhentikan, tindakan boleh diambil.

“Bagaimanapun apabila pemain tidak boleh mendengar, kita perlu bertindak dengan melakukan bahasa isyarat seperti ini (bendera dinaikkan),” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kecil Pengadil (Pelantikan) Persatuan Bola Sepak Perak.

Beliau berkata, kaedah terbabit diguna pakai dalam perlawanan bola sepak pemain pekak selama ini.

“Sebelum SOPMA 2018, satu kejohanan disertai tujuh pasukan bola sepak pekak negeri sudah diadakan di sini tahun lalu,” katanya.


Pengarang :