PENDIDIKANSELANGOR

Universiti hilang jiwa kerana abai masalah setempat

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 18 OKT: Sesebuah universiti tidak sepatutnya meminggirkan permasalahan setempat sehingga dianggap kehilangan ‘jiwa’.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Universiti Havard yang mempunyai ilmuwan tersohor turut dilihat kehilangan jiwa melalui satu kajian yang dijalankan.

“Jika diikutkan siapa yang boleh pertikaikan Universiti Havard, namun ia kehilangan jiwa kerana tidak mempedulikan masyarakat luarnya yang ditindas.

“Akhirnya, moral kian hancur, ilmu yang diperolehi tidak digunakan kerana mereka hanya pintar tetapi tidak punyai jiwa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Temui Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran UNISEL dan Anwar Ibrahim Club (AIC) bertempat di UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Pada masa sama, Anwar berkata, kemusnahan yang berlaku juga disebabkan masyarakat ketandusan ilmu dan tidak pernah menghayatinya.

“Betapa ramai rakyat tertipu, dilanyak sehingga negara dirompak. Ini berlaku kerana kita tidak menguasai ilmu, sedangkan menimba ilmu itu adalah benteng diri bagi menyelamatkan seseorang daripada isu kemanusiaan,” katanya.


Pengarang :