GLOBAL

Facebook: Penggodam tidak guna log masuk curi

NEW YORK 3 OKT: Facebook Inc, semalam berkata penyiasat mendapati penceroboh komputer tidak memasuki laman web lain yang menggunakan log masuk tunggal rangkaian sosial itu dalam serangan siber besar-besaran yang didedahkan syarikat itu minggu lalu.

“Kami menganalisis akses pihak ketiga ketika serangan yang kami kenal pasti.

“Siasatan mendapati tiada bukti penyerang mengakses sebarang aplikasi menggunakan log masuk Facebook,” kata timbalan presiden Facebook, Guy Rosen, yang memantau keselamatan media sosial itu, dalam kenyataan.

Pengumuman dibuat selepas pendedahan Facebook minggu lalu mengenai pelanggaran keselamatan terburuk, berkata penyerang mencuri kod log masuk yang membolehkan mereka mengakses hampir 50 juta akaun media sosial itu.

Saham Facebook jatuh untuk hari ketiga semalam, menjunam 1.9 peratus kepada AS$159.33 (RM660).

Jumaat lalu, Rosen memberi amaran bahawa penceroboh mungkin mempunyai akses laman web pihak ketiga dan aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses akaun mereka menggunakan log masuk Facebook.

Beberapa pakar keselamatan, termasuk bekas eksekutif Facebook, berkata syarikat mungkin menonjolkan senario terburuk apabila mendedahkan serangan Jumaat lalu untuk memastikan ia selari dengan undang-undang peribadi baru Kesatuan Eropah yang berkuat kuasa Mei lalu.

Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) blok itu, mengenakan penalti berat jika syarikat gagal mengikuti undang-undang, termasuk mewajibkan mereka mendedahkan pelanggaran dalam masa 72 jam selepas disedari.

Pakar berkata, peraturan itu tidak memberikan masa mencukupi untuk menentukan impak pelanggaran.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :