SELANGOR

JAS galak masyarakat utama pengurusan e-Waste

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 31 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menggalakkan masyarakat menitikberatkan pengurusan e-Waste seperti barangan buangan elektrik dan elektronik yang sudah digunakan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim berkata, antara bahan buangan termasuk dalam kategori e-Waste adalah televisyen, mesin basuh, peti sejuk, telefon bimbit, komputer dan penghawa dingin.

“Ia boleh dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual, ‘electrical and electronic waste’, kod SW 110 yang perlu diuruskan mengikut Peraturan Buangan Terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pengurusan E-Waste harus dikendalikan oleh syarikat yang mempunyai lesen daripada JAS kerana ia tidak boleh dilupuskan di tapak biasa kerana kita bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Selangor 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Kuda, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan mengenalpasti Pusat Kitar Semula di kawasan masing-masing, sekali gus bertindak sebagai pusat pengumpulan buangan E-Waste yang diterima daripada orang ramai.

Katanya, usaha itu mendapat sokongan daripada premis pemerolehan kembali buangan e-Waste yang dilesenkan JAS bagi menjayakan program melalui kempen kutipan e-Waste seperti dilaksanakan syarikat T-Pot Electrical & Electronics Sdn Bhd.

“Kita semua perlu berganding bahu dalam merealisasikan objektif tema sambutan Hari Alam Sekitar pada kali ini dengan aktiviti kesedaran penjagaan dan pemeliharaan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Melalui program kesedaran seperti ini, kita semua dapat menghargai keindahan dan keunikan alam sekali gus memelihara dan mengekalkan kecantikan serta kebersihan kawasan masing-masing,”katanya.


Pengarang :