NASIONAL

Kerajaan komited kaji semula pendapatan garis kemiskinan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kerajaan komited untuk mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa supaya selaras dengan peningkatan kos sara hidup rakyat dan akan menambah baik model PGK dengan mengambil kira perubahan corak penggunaan mengikut geografi dan demografi.

PGK ditakrifkan sebagai pendapatan isi rumah yang hanya mencukupi untuk membeli keperluan minimum yang terdiri daripada makanan dan bukan makanan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin, berkata bagi melengkapi pengukuran kemiskinan berasaskan PGK, kerajaan akan menggunakan satu kaedah pengukuran kemiskinan yang lebih menyeluruh iaitu Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).

“Selain pendapatan, MPI akan mengambil kira dimensi lain iaitu pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup,” kata Mohd Radzi ketika menjawab soalan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR-Johor Bahru) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, komitmen untuk mengkaji semula PGK semasa adalah seperti dinyatakan secara jelas dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.

Beliau menambah, melalui penggunaan MPI, strategi dan pelan tindakan yang lebih menyeluruh akan dapat dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pada masa ini, PGK yang digunakan untuk penyaluran bantuan adalah berdasarkan perangkaan pada tahun 2014 iaitu RM930 bagi Semenanjung Malaysia, RM1,170 bagi Sabah dan Labuan serta RM990 bagi Sarawak.

“PGK terkini berdasarkan perangkaan pada tahun 2016 akan digunakan dalam masa terdekat selepas dimuktamadkan. Penyaluran bantuan kepada isi rumah miskin adalah berdasarkan pendaftaran dalam sistem pangkalan data eKasih.

“Sistem ini sedang ditambah baik bagi memastikan penyampaian bantuan yang lebih efektif kepada kumpulan sasar,” kata Mohd Radzi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :