SELANGOR

KPS rangkul Anugerah HR Asia 2018

PETALING JAYA, 25 OKT: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menerima Anugerah Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2018 Edisi Malaysia, pada Majlis Anugerah HR Asia 2018, di Hotel New World, di sini, pada 12 Oktober lalu.

Anugerah itu diterima atas keupayaan KPS mewujudkan kecemerlangan tempat kerja dan mempromosikan pembabitan pekerja lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hassan berkata, kejayaan sebuah syarikat bergantung kepada keberkesanan pekerja dan KPS memiliki pasukan serta bakat terbaik.

“KPS diberi penghormatan dan terpilih sebagai penerima Anugerah HR Asia sebagai bukti terhadap komitmen mewujudkan budaya produktiviti dan kesaksamaan untuk aset paling berharga, iaitu pekerja kami.

“KPS akan meneruskan usaha mempertingkatkan piawaian prestasi dalam Kumpulan dengan hasil produk kecemerlangan tempat kerja serta aspek pembabitan pekerja positif akan diberikan tumpuan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, KPS memupuk pembabitan pekerja positif di semua peringkat melalui pelbagai aktiviti, menunjukkan amalan terbaik dan kecemerlangan tempat kerja merangkumi pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, meritokrasi juga keadilan.

HR Asia adalah penerbitan paling berwibawa untuk profesional kanan sumber manusia, di rantau ini.

Setiap syarikat dinilai panel bebas terdiri daripada pakar industri, akademik, wartawan dan wakil kerajaan berdasarkan Laporan Kajian Input Pekerja (EIS) HR Asia dan Kajian Tempat Kerja.

Tahun lalu, KPS menerima Anugerah Perak untuk Anugerah Pilihan Majikan 2017 (Sektor Swasta) oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).

 


Pengarang :