PENDIDIKANSELANGOR

Mahasiswa digesa siap sedia cabaran Revolusi Industri 4.0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 OKT: Golongan mahasiswa dalam bidang komunikasi diingatkan supaya mempersiapkan diri dengan corak pemikiran lebih kreatif, kritis dan inovatif dalam usaha mendepani cabaran Revolusi Industri keempat (Industri 4.0) yang berkonsepkan Internet Saling Berhubung (IoT).

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, bagi memenuhi tuntutan itu, peranan universiti disifatkan penting untuk memberi pendedahan ilmu lebih mendalam, selain cuba mengaplikasi dan menyesuaikan perkembangan teknologi internet yang wujud pada abad ini, kepada mahasiswa.

“Program pendidikan dan pengajaran baharu perlu dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang sentiasa berubah, sekali gus dapat mengelakkan mahasiswa daripada ketinggalan dalam arus perkembangan masa kini.

“Malah, petisyen IR 4.0 juga sentiasa berubah dalam bentuk kandungan yang bukan sahaja untuk pendidikan teknikal, tetapi pendidikan secara umum. Maka, aspek pendekatan baharu perlu diberikan terhadap beberapa bidang kemahiran tertentu dan menambahkan pelbagai bentuk kandungan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA Conference 2018), di Intekma Resort and Convention Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir, Wakil ICA dari Nanyang Technological University Singapore, Prof Dr Ang Peng Hwa; Atma Jaya Catholic University, Prof Dr Dorien Kartikawangi dan Pengerusi Komunikasi dan Multimedia Forum Kandungan merangkap Pengarah Ketua Eksekutif Primeworks, Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Izham Omar.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari mulai 24 hingga 25 Oktober itu mengangkat tema “Media Transformation: Shifting Paradigms and Global Challenges”, bertujuan mengupas dan membincangkan secara terperinci mengenai keperluan dan cabaran ke arah Industri 4.0.

Ia meliputi Isu dalam Media, Perhubungan Awam, Kewartawanan, Periklanan serta Belia dan Media.

Mengulas lanjut, Dr Azizul berkata, persidangan ICA memberi peluang kepada ahli akademik dan pengamal media untuk menimba ilmu sambil berkongsi pengalaman sepanjang bergiat dalam industri berkenaan.

Katanya, walaupun mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang itu, tetapi masih terdapat ruang buat mereka mencari pengetahuan baharu.

“Hal ini kerana jika mereka tertumpu pada bidang masing-masing, kemungkinan mereka akan kehilangan idea-idea segar, baharu dan terkini yang boleh memberi impak jangka panjang.

“Sememangnya kita mahu setiap kajian dan penyelidikan yang dibuat dapat diterbitkan untuk bacaan umum, tetapi pada masa sama kita juga harus terus berusaha memastikan setiap projek itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.


Pengarang :