EKONOMINASIONAL

Malaysia bakal bangunkan 30 PKS pembuatan aeroangkasa baharu menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan menyasar untuk membangunkan 30 syarikat pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baharu dalam sektor aeroangkasa menjelang 2020, selain 20 syarikat yang ada sekarang.

Ketua Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah berkata, segmen pembuatan industri aeroangkasa tempatan menunjukkan pertumbuhan mengkagumkan sejak 1990-an dan baru-baru ini mengatasi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebagai penyumbang pendapatan utama dalam sektor aeroangkasa.

“Sudah tentu, sektor MRO telah menyediakan sejumlah pendapatan kepada Malaysia tetapi pada masa ini, (segmen) pembuatan adalah nombor satu. Kami berharap ia (pembuatan) boleh meningkat antara 7.0 dan 15.0 peratus setiap tahun, tetapi ia sangat bergantung kepada bagaimana kita boleh membawa lebih banyak pelaburan.

Shamsul Kamar berkata, kira-kira 48 peratus atau RM6.6 bilion hasil industri aeroangkasa pada 2017 datang daripada segmen pembuatan aeroangkasa, diikuti oleh 46 peratus daripada segmen MRO dan selebihnya daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Beliau berkata, keputusan General Electric, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat untuk melabur RM200 juta bagi menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan LEAP berteknologi tinggi baru di Malaysia akan menghasilkan sehingga 40 syarikat penerbangan baru yang menyelenggara enjin mereka di lapangan terbang Subang.

“Kami berharap dengan pelaburan baru itu lebih banyak enjin akan diservis di Subang,” kata Shamsul kepada pemberita selepas pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) ketiga di sini, hari ini.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Shamsul Kamar berkata, NAICO, satu unit di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), akan bekerjasama dengan PKS untuk memastikan penglibatan jangka panjang mereka dalam industri aeroangkasa.

“MITI melalui agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SME Corporation (SME Corp), akan menyediakan geran untuk membantu PKS dalam industri aeroangkasa.

“Geran terbabit, bagaimanapun hanya meliputi kira-kira 50 peratus daripada pelaburan yang diperlukan kerana kita mahu melihat komitmen yang sama daripada pemain industri dan untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mahu melabur dalam segmen ini,” tambahnya.

Sementara itu, Darell berkata, Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan hasil tahunan sebanyak AS$14.3 bilion atau RM55.2 bilion menjelang 2030 dan penciptaan lebih daripada 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Malaysia berada di barisan hadapan pelbagai aktiviti dalam rantaian nilai aeroangkasa. Syarikat kita meliputi perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk, integrasi sistem dan pembuatan bahagian dan komponen pesawat, termasuk peralatan sokongan darat dan aktiviti MRO.

“Penglibatan PKS dalam industri itu juga menggalakkan. Sebanyak 20 PKS di bawah Program Industri Pembuatan Aeroangkasa Global oleh SME Corp telah menunjukkan pertumbuhan positif dan dijangka menjana lebih daripada RM30 juta pada tahun ini ” katanya.

Pada 2017, eksport aeroangkasa Malaysia melonjak 54 peratus kepada RM8.51 bilion berbanding 2016, dengan eksport utama adalah bahagian dan komponen, terutamanya untuk sayap dan fiuslaj pesawat.

KLIABC selama tiga hari yang bermula hari ini dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan ABE France. Ia akan menyaksikan penyertaan 150 pertubuhan industri aeroangkasa daripada 21 negara.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :